mutakhir

JHEAT kesan satu kes fahaman liberal

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengakui sedang menyiasat satu kes penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negeri itu.

Pesuruhjaya JHEAT Mat Azmi Arshad menegaskan, penceramah tanpa tauliah itu menyebarkan fahaman liberal secara bersemuka dengan pengikutnya di beberapa lokasi di kediaman ahlinya.

Menurutnya, siasatan dilakukan mendapati penceramah bukan dari negeri itu turut menyebarkan fahaman liberal kepada pengikutnya menggunakan melalui laman sosial termasuk Facebook, Twitter, Youtube, WhatsApp dan Telegram.

"JHEAT sudah mengenal pasti penceramah berkenaan tetapi dia hanya datang ke negeri ini untuk menyampaikan kuliah sekali sebulan atau dua kali.

"Kita sudah mengenal pasti lokasi yang dikunjungi penceramah berkenaan dan pemantauan secara berterusan sedang dilakukan," katanya ketika ditemui di majlis Haflu Ei-Takrim Peringkat Pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, hari ini.

Majlis perasmian dan penyampaian anugerah kecemerlangan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu fahaman liberal berkembang agresif dalam media sosial dan dakwaan Majlis Agama Islam di setiap negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa tidak berpeluk tubuh dalam mengekang penularan fahaman liberal yang bercanggah pegangan ASWJ.

Mat Azmi menjelaskan, JHEAT sedang bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi penguatkuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM untuk mengambil tindakan ke atas penceramah berkenaan.

Bagaimanapun, Mat Azmi mengakui penularan fahaman berkenaan dalam kalangan umat Islam di negeri itu masih terkawal, walaupun JHEAT tidak mempunyai kepakaran menyekat penularan itu melalui laman sosial.

Ketika mengulas mengenai kegiatan dan penularan semula ajaran Ayah Pin di Selangor, Mat Azmi menjelaskan, pemantauan dan siasatan dilakukan di perkampungannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut mendapati tiada sebarang aktiviti ajaran itu dihidupkan semula.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 3:38pm
d