mutakhir

Projek madu kelulut diusahakan banduan [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Jabatan Penjara Negeri Kelantan menyediakan kemahiran menternak madu kelulut kepada 80 banduan yang menjalani baki hukuman penjara kurang dari dua tahun di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, projek madu kelulut berkenaan sudah empat tahun dijalankan namun bermula 1 Januari 2021, PRP di Kem Desa Pahlawan akan dipindahkan ke Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Batu Jong, Kuala Krai.

Katanya, dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), kini terdapat 150 koloni (rumah kelulut) yang diusahakan banduan di kawasan seluas 0.4 hektar dalam secara puratanya mampu mengeluarkan 10 kilogram (kg) madu kelulut dalam tempoh sebulan.

"Madu kelulut ini kemudiannya dipasarkan ke pasaran terbuka khususnya di galeri dan pusat jualan penjara di seluruh negara selain turut diserahkan kepada Mardi untuk dipasarkan.

"Pada masa sama, Mardi juga menyediakan teknologi memproses ketulenan madu kelulut," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Penjara Ke-230 Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Mini Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Mat berkata, kemahiran menternak madu kelulut yang diperolehi oleh banduan boleh digunakan sebaik mungkin selepas mereka dibebaskan nanti sekali gus menjana pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Dengan adanya kemahiran dan pendapatan ini, ia dapat membantu mereka menghindarkan diri daripada terjebak dalam aktiviti yang salah dari segi undang-undang sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Penjara Kelantan adalah satu-satunya penjara di negara ini yang menyediakan latihan ternakan kelulut kepada banduan serta menghasilkan madu kelulut," katanya.

Beliau berkata, selain ternakan kelulut, pihaknya juga menyediakan kemahiran lain seperti pastri, batik dan songket untuk banduan wanita dan lelaki sama ada di Penjara Pengkalan Chepa, Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang dan PRP.

"Dalam bidang pengeluaran makanan yang dihasilkan oleh banduan, pada tahun lalu sebanyak RM950,000 berjaya dipasarkan dan kita meletakkan sasaran sehingga RM1.2 juta.

"Lebih membanggakan lagi, batik yang dihasilkan mendapat perhatian dan langganan daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan sehingga kini baginda secara berterusan membuat tempahan dengan penjara.

"Pada tahun lalu, bengkel batik Penjara Pengkalan Chepa menyertai pertandingan Piala Seri Endon yang mengetengahkan teknik batik skrin dan konsep 'arabesque' dan mendapat tempat ketiga," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 4:11pm
d