mutakhir

MB Perak sedia beri kerjasama

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sedia memberi kerjasama penuh berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dakwaan pemberian ribuan hektar tanah oleh kerajaan negeri kepada syarikat swasta.

Beliau dalam kenyataan satu hari ini berkata, kerjasama yang diberi bertepatan dengan prinsip pentadbiran kerajaan negeri yang sentiasa menekankan kepada kedaulatan undang-undang.

"Saya mengambil maklum mengenai laporan yang dibuat Datuk Hamidah Osman bagi pihak Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) kepada SPRM pagi tadi berhubung beberapa dakwaan yang terkandung dalam surat layang yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

"Saya secara peribadi sentiasa bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM dalam menjalankan siasatan ke atas laporan terbabit," katanya.

Pagi hari ini, Hamidah selaku Naib Presiden PUTRA membuat laporan kepada SPRM mengenai kelulusan pemberian beberapa bidang tanah ladang hutan oleh Ahmad Faizal selaku Menteri Besar Perak berpandukan satu surat terbuka yang tular sejak seminggu lalu.

Hamidah mendakwa ia membabitkan tindakan rasmi oleh kerajaan negeri Perak ke atas lebih 400 hektar tanah yang sebenarnya bagi tujuan pembalakan.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 5:21pm
d