mutakhir

Pencemaran Sungai Gong perbuatan tidak bertanggungjawab - Agong

Oleh Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan pencemaran Sungai Gong, Rawang sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab yang berulang sehingga membebankan serta memudaratkan jutaan rakyat di Kuala Lumpur dan Selangor.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bertitah, kemudaratan akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja kepada kehidupan seharian, malah kepada sosio-ekonomi rakyat kerana banyak perniagaan terpaksa ditutup.

Sehubungan itu, beliau berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas dan hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada semua untuk memastikan kelestarian alam terpelihara dan mengelak berlakunya pencemaran sungai yang memberi kesan kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

"Al-Sultan Abdullah yang mengikuti perkembangan sejak hari pertama gangguan bekalan air tidak berjadual ini amat prihatin terhadap keluh kesah dan beban rakyat mengharungi situasi itu.

"Seri Paduka Baginda juga menzahirkan rasa simpati kepada rakyat yang terpaksa beratur menunggu giliran dan bertungkus lumus mengambil air setiap kali gangguan bekalan berlaku, " katanya melalui kenyataan Istana Negara, di sini.

Baginda bertitah demikian ketika majlis menghadap dengan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, di Istana Negara, pagi tadi.

Ahmad Fadil berkata, baginda bertitah demikian bagi menzahirkan rasa dukacita dengan kes pencemaran Sungai Gong yang menyebabkan 1.2 juta akaun dan kira-kira 5 juta pengguna di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pada masa sama, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan kes pencemaran sungai seperti yang berlaku di Sungai Gong dapat dibendung, sekali gus tidak berulang lagi pada masa depan.

Katanya, baginda juga meminta pihak berkuasa khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui Jabatan Alam Sekitar supaya meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.

"Seri Paduka turut bertitah supaya penjagaan alam sekitar diberi fokus oleh pihak berkuasa, khususnya dalam urus tadbir pengurusan sungai dan aktiviti kesedaran dalam kalangan rakyat.

"Pembentukan jati diri dan sayang kepada alam sekitar perlu didedahkan dengan memberi didikan awal kepada anak-anak dengan penganjuran aktiviti dan program amal pembersihan kawasan awam sebagai bentuk pengajaran, " katanya.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan terhadap tindakan kerajaan Selangor yang mengarahkan supaya pemilik premis yang menjadi punca pencemaran air merobohkan struktur bangunan itu.

Ini kerana katanya, tanah persendirian yang dibangunkan sebagai premis penyelenggaraan jentera berat itu didapati tidak mempunyai kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan.

"Baginda menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan agensi kerajaan yang berkait atas tindakan segera yang diambil untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air kepada kawasan yang terjejas, " katanya.

Media melaporkan sebelum ini, pihak berkuasa mengenal pasti sebuah premis sebagai punca pencemaran sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lalu.

Gangguan terbaharu bekalan air yang tidak berjadual ini bukan yang pertama diharungi oleh

rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur kerana melalui laporan media, sebanyak sembilan kali pengguna mengalami gangguan bekalan air pada 2018 dan berulang sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 6:15pm
d