mutakhir

Sarang pelacuran diserbu polis

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Satu sindiket pelacuran yang beroperasi di sebuah premis di Laman Rimbunan Kepong, di sini, dikesan meraih pendapatan antara RM5,000 hingga RM6,000 sehari.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis menjalankan Op Noda di lokasi itu jam 3.40 petang tadi menyaksikan 17 wanita warga Vietnam ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya turut menahan 10 lelaki termasuk tiga lelaki warga Bangladesh yang disyaki sebagai pelanggan.

"Selain itu, kami juga menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang dipercayai berkerja sebagai penjaga premis berkenaan dalam serbuan itu.

"Turut dirampas 100 kondom, empat kertas putih bertarikh 7 September 2020 yang disyaki jadual kerja, dua telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM2,660 serta dekoder kamera litar tertutup (CCTV)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, hasil soal siasat awal dilakukan terhadap penjaga premis itu mendapati lelaki berkenaan baharu bekerja selama 18 hari.

"Lelaki itu memaklumkan dia menerima gaji RM1,500 sebulan dengan waktu operasi premis terbabit adalah antara jam 10 pagi sehingga lewat malam.

"Kegiatan itu dijalankan melalui pintu belakang premis pada hari bekerja dan melalui pintu hadapan pada hari cuti hujung minggu serta cuti umum.

"Difahamkan sindiket ini meraih pendapatan harian antara RM5,000 hingga RM6,000 sehari dengan pelanggan dikenakan bayaran sebanyak RM190 untuk setiap satu jam perkhidmatan seks," katanya.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B/373 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 8:01pm
d