mutakhir

Polis Kuala Lumpur lancar pelbagai operasi banteras jenayah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur menjalankan pelbagai operasi dalam usaha membanteras kegiatan jenayah termasuk membabitkan kes narkotik serta jenayah siber di ibu kota ini sekali gus menyaksikan beberapa siri tangkapan kejayaan bagi tempoh 2018 hingga Ogos tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 142 individu yang terbabit dengan pelbagai kegiatan jenayah termasuk ragut, pecah rumah serta curi ditahan menerusi Op Rentap bagi tempoh berkenaan dengan 13 daripadanya dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Katanya, bagi Op Dadu pula, seramai 2,375 individu ditahan membabitkan 185 serbuan dijalankan bagi tempoh berkenaan dengan merampas 9,449 telefon bimbit, 1,774 komputer, 985 komputer riba serta wang tunai berjumlah RM650,961 dalam operasi berkenaan.

"Dalam Op Cantas di Pasar Borong Selayang pula, seramai lapan individu ditahan dengan tiga daripadanya berjaya dituduh mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan selain 221 tangkapan peniaga haram warga asing.

"Bagi Op Cantas membabitkan upacara mengangkat sumpah kumpulan kongsi gelap Geng 77, seramai 114 individu ditahan termasuk enam warga Singapura yang dipercayai ahli kumpulan berkenaan," katanya.

Mazlan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur berjaya membanteras 115 sindiket pengedaran dadah di kawasan Lembah Klang bagi tempoh berkenaan.

"Selain itu, kami turut menahan 3,822 individu membabitkan 588 serbuan atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Op Hiburan bagi tempoh sama.

"Bagi tempoh itu juga, sebanyak RM34.8 juta jumlah sitaan direkodkan dengan nilai rampasan dadah berjumlah lebih RM196 juta," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur pula menjalankan 1,483 operasi dengan 1,368 daripadanya berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh sama.

"Bagi Op Mule, sebanyak 657 kertas siasatan dibuka dengan 401 daripadanya berjaya dituduh di mahkamah, manakala 167 kertas siasatan dibuka membabitkan Op Kesan bagi tempoh sama.

"Kami berterima kasih atas kerjasama orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, Mazlan meraikan pengamal media menerusi Majlis Penghargaan Ketua Polis Kuala Lumpur Media Op Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu dianjurkan bagi menghargai peranan media dalam memberi liputan kepada Polis Kuala Lumpur sepanjang beliau menerajui pasukan itu sejak 23 Oktober 2017 sebelum ditukarkan sebagai Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman berkuat kuasa 21 September ini.

Pada majlis itu, seramai 18 wartawan meja jenayah daripada pelbagai agensi akhbar dan media elektronik serta 14 agensi media tempatan menerima sijil penghargaan yang disampaikan beliau.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 8:32pm
d