mutakhir

Kontraktor penghawa dingin ditahan cuba merasuah polis

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Seorang kontraktor penghawa dingin ditahan selepas cuba memberi rasuah kepada anggota polis di Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng di Kilometer 25 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, pagi hari ini.

Lelaki berusia 38 tahun itu cuba menyogok polis bagi melepaskan lelaki warga Bangladesh kerana memiliki dokumen perjalanan sudah tamat tempoh.

Ketua Balai Polis Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, dalam SJR 11.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Plentong menahan van dipandu lelaki itu bersama tiga lelaki lain dan lelaki warga Bangladesh berkenaan.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan, pemandu van itu didapati melakukan kesalahan lalu lintas menyalahi kesalahan cukai jalan, manakala lelaki Bangladesh berusia 28 tahun yang juga pekerja pemasang penghawa dingin didapati menggunakan dokumen perjalanan tamat tempoh.

Menurutnya, ketika hendak membuat tangkapan terhadap lelaki warga Bangladesh terbabit dan mengeluarkan saman, pemandu van meminta untuk tidak diambil tindakan kemudian cuba menyogok polis dengan memberi RM200.

"Anggota polis bertugas memberi amaran supaya jangan cuba memberi rasuah, namun ketika menulis saman, suspek meletakkan wang RM200 di atas meja di bawah khemah polis di SJR terbabit.

"Anggota polis berkenaan terus merampas wang tunai itu dan menangkap pemandu van terbabit kerana cuba memberi rasuah," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, manakala lelaki warga Bangladesh dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (B) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 15 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 11:38pm
d