mutakhir

Cubaan mengedar dadah kali pertama bawa padah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Cubaan kali pertama seorang lelaki mengedar dadah dengan mengambil 'upah' RM1 bagi setiap pil dihantar kepada pelanggan gagal apabila dia ditahan polis di hadapan sebuah bank di Taman Desa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields melakukan serbuan di lokasi terbabit pada jam 5.30 petang.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai mengedar dadah di kawasan Taman Desa.

"Kami juga berjaya merampas 420 pil disyaki dadah jenis ekstasi seberat 235 gram dianggarkan bernilai RM12,600 daripada suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, siasatan awal mendapati suspek baru pertama kali mencuba menjadi mengedar dadah dengan menghantar bekalan kepada pelanggan.

"Suspek diberikan upah RM1 bagi setiap pil dihantar kepada pelanggan selepas mendapat bekalan daripada seorang lelaki yang kini sedang dikesan polis.

"Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod membabitkan kes dadah dan jenayah, manakala ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadapnya didapati positif dadah jenis methaphetamin serta amphetamin," katanya.

Beliau berkata, suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

"Saya memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan dadah kerana polis sangat komited untuk membanteras kegiatan itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan dadah di daerah ini boleh menghubungi IPD Brickfields di talian 03-22979222," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 11:29am
d