mutakhir

25 jemaah terkandas fail saman [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: "Bayangkan dalam satu kapal terbang yang dipenuhi jemaah memiliki visa Furada namun hanya rombongan kami sahaja yang tidak dibenarkan masuk untuk mengerjakan haji," kata Muhammad Radhi Shariff Hussain, 56.

Muhammad Radhi antara 25 jemaah haji yang memfailkan tuntutan saman berjumlah RM634,400 terhadap sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji selepas dia terkandas di Jeddah, Arab Saudi ekoran Visa Furada yang dimilikinya tidak sah pada 5 Ogos tahun lalu.

Kakitangan swasta itu berkata, dia yang sudah berpakaian ihram dan melakukan niat bagi mengerjakan haji tetapi tidak menyangka dugaan berat menimpa dirinya serta rombongan yang mengambil perkhidmatan syarikat berkenaan.

"Rombongan yang pergi bukannya orang senang kerana kebanyakan bekerja sebagai nelayan, pekerja kilang dan ada yang ambil masa bertahun-tahun untuk kumpul duit kerana nak sangat pergi ke Makkah.

"Namun, berlaku perkara sebaliknya hingga ia menjadi trauma kepada kami termasuk terpaksa menanggung malu dengan insiden ini," katanya ketika sidang media bagi menuntut semula bayaran ganti rugi terhadap syarikat terbabit di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka yang datang dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan membuat bayaran antara RM15,000 hingga RM40,000 kepada syarikat berkenaan untuk mengerjakan rukun Islam kelima terbabit.

Bagaimanapun, katanya, hanya 15 sahaja daripada jumlah itu yang menerima visa elektronik (e-visa) dan selebihnya terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Seramai 15 jemaah ini termasuk saya kemudiannya terbang ke Jeddah tetapi kami tidak dimaklumkan lebih awal bahawa penerbangan mereka tidak diiringi wakil yang sah.

"Malangnya, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, kami gagal melepasi kaunter imigresen kerana setiap imbasan bar kod yang dibuat ke atas e-visa memaparkan identiti individu lain yang berbeza," katanya.

Muhammad Radhi berkata, betapa kecewanya mereka ketika berhadapan dengan situasi berkenaan apatah lagi keadaan cuaca pada ketika itu sangat sejuk manakala mereka pula hanya berpakaian ihram.

"Mujur ada pihak Tabung Haji (TH) dan kedutaan di Jeddah yang datang menghulurkan bantuan makan serta minum apabila berbelas jam kami terkandas sebelum dihantar pulang ke Malaysia dengan penerbangan terakhir," katanya.

Menurutnya, sejurus tiba di Malaysia, kesemua jemaah yang terbabit membuat laporan polis dan kini seramai 25 jemaah memfailkan tuntutan saman ke atas syarikat itu pada 24 Ogos lalu.

"Kami sudah bagi tempoh agak lama untuk syarikat ini bertanggungjawab dan membayar semula ganti rugi kami tetapi mereka sehingga sekarang tidak buat.

"Sebelum ini, syarikat itu berjanji untuk buat bayaran secara ansuran sebanyak tiga kali tetapi hanya beberapa orang sahaja yang menerimanya antara RM6,000 ke RM7,000, itu pun bukan bayaran penuh.

"Kami nak duit kami balik supaya kami dapat mengerjakan haji semula," katanya.

Terdahulu, syarikat pelancongan terbabit juga membuat laporan polis mendakwa agensi yang menawarkan perkhidmatan selama 12 tahun turut menjadi mangsa penipuan.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 2:24pm
d