mutakhir

Kereta api laju ke Bentong dan Gombak masih tanda tanya

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kerajaan akan membuat pengumuman berhubung penjajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selain kosnya, dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada jajaran projek kontroversi itu akan menggunakan pelan asal atau rancangan baharu yang diumumkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

"Dalam tempoh dua tiga bulan lihat lah perbincangan di Dewan Rakyat, macam mana dan menjurus ke mana... itu semua boleh dapat satu tanggapan (mengenai projek ECRL).

"Mereka ini ada pandangan masing-masing dan semua ini kita ambil kira termasuk pandangan daripada kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Penggredan Institut Memandu Siri Dua, yang diadakan di Kementerian Pengangkutan, di Putrajaya tadi.

Ka Siong berkata demikian ketika ditanya mengenai jajaran ECRL sama ada ia akan kembali ke pelan asal melalui Bentong, Pahang dan Gombak, Selangor atau pelan baharu oleh pentadbiran PH.

Justeru, Ka Siong meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi selain taklimat kepada media yang akan diadakan apabila tiba masanya.

Beliau berkata, ketika ini ada proses tertentu yang perlu dilakukan dan diselesaikan.

Katanya, kerajaan juga perlu menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual kerja yang ditetapkan.

Sebelum ini, akhbar berbahasa Cina dalam laporan khas berkata, Jemaah Kabinet sudah membuat keputusan bahawa ECRL akan melalui Bentong seperti pelan asal yang dibuat pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Laporan itu yang memetik sumber, menyatakan ia mendapat pengesahan daripada beberapa Menteri Kabinet bahawa perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu minggu lalu.

Jajaran asal sejauh 688 kilometer sepatutnya melalui Temerloh dan Bentong sebelum ke Pelabuhan Klang dengan kos RM65.5 bilion namun pentadbiran PH mengubah jajarannya sehingga 32.8 peratus dengan kos sebanyak RM44 bilion.

Penjajaran baharu yang dicadangkan PH itu menyaksikan laluan menuju selatan melalui Mentakab ke Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum melalui Bangi /Kajang dan kemudian menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.

Sementara itu, Ka Siong berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah menjalankan siasatan membabitkan kemalangan komuter KTMB dan Tren Elektrik (ETS) yang bergesel berhampiran Stesen Kuang, Jumaat lalu, selesai.

Katanya, laporan lengkap akan dikemukakan kepada pihaknya.

"Kita nak tahu samalah ada ia akibat kecuaian atau masalah mekanikal... kena buat siasatan lama sikit.

"Perkara pertama perlu dibuat ialah buat pembaikan dulu supaya tidak menjejaskan perkhidmatan.

"Saya nak tahu juga apa sebab. Sebab sistem kita ke atau kecuaian, kita tidak tahu lagi," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 3:07pm
d