mutakhir

Wanita maut dihempap pokok

Oleh Asrol Awang

Raub: Wanita maut manakala suaminya cedera dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Tranum, dekat Bukit Fraser, di sini kelmarin.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa, Chua Mei Ling, 45 maut dan suami, Soon Meng Fatt, 46 sedang menunggang motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, suami isteri dari Kepong, Kuala Lumpur itu dalam perjalanan turun dari Bukit Fraser ke Raub.

"Setiba di tempat kejadian sebatang pokok yang berada di sebelah kanan jalan tumbang secara tiba-tiba lalu menghempap penunggang dan pembonceng itu.

"Akibat kejadian, Chua yang membonceng motosikal maut akibat parah manakala Soon patah bahu kanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarulzaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kejadian pokok tumbang di jalan berkenaan sering berlaku, bagaimanapun, ia insiden pertama yang menyebabkan kematian.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 4:05pm
d