mutakhir

Kerugian Macau Scam terbesar di Kelantan

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Bukan hanya duit simpanan, tetapi wang pinjaman daripada tiga institusi perbankan turut hangus selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Itu nasib seorang penjawat awam berusia 40-an yang kerugian RM586,000 selepas dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

Malah, ia adalah kerugian terbesar bagi kes Macau Scam dicatat polis Kelantan tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, pada mulanya, mangsa dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat sarjan 26 Julai lalu, dengan alasan wanita itu terbabit dengan kes jenayah penggubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta di Sabah.

"Mangsa kemudian dihubungkan dengan beberapa suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis termasuk pegawai penyiasat (IO) kes jenayah penggubahan wang haram.

"Selama beberapa hari, mangsa dan suspek yang menyamar sebagai IO kes berhubung bagi tujuan siasatan dan mangsa tidak dibenarkan memaklumkan mengenai siasatan sulit yang sedang dijalankan kepada sesiapa termasuk ahli keluarga atau kenalan.

"Dalam tempoh sama, mangsa diminta untuk mendedahkan kesemua akaun bank yang dimilikinya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, pada akhir Julai lalu, suspek yang menyamar pegawai kanan polis berpangkat inspektor menghantar satu imej waran tangkap terhadap mangsa melalui aplikasi WhatsApp bagi menangkap dan membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Sabah kerana kononnya kes itu disiasat di negeri terbabit.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihubungkan kepada suspek lain yang menyamar pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang sudi membantu menyelesaikan masalah mangsa.

Pada masa sama, katanya, suspek memperdaya mangsa untuk membuat beberapa transaksi pindahan wang sehingga berjumlah melebihi RM200,000 ke beberapa akaun bank peribadi milik pihak ketiga.

"Mangsa juga diperdaya untuk membuat tiga pinjaman bank berjumlah RM370,000 dengan tiga institusi perbankan berbeza dalam tempoh masa 30 hari.

"Sebaik kesemua pinjaman itu dilulus dan dikreditkan ke dalam akaun bank miliknya, mangsa diarahkan untuk menyerahkan butiran perbankan Internet serta nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) bagi semua akaun bank itu kepada suspek.

"Mangsa mula menyedari diperdaya sindiket Macau Scam dan berkongsi kejadian dengan seorang ahli keluarganya sebelum membuat laporan polis dua hari lalu," katanya.

Ahmad Azizul berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).

Beliau berkata, walaupun sudah banyak kali laporan mengenai Macau Scam didedahkan di media massa, namun orang ramai masih terpedaya.

"Jangan sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan kepada individu tidak dikenali," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 4:36pm
d