mutakhir

Derita Muhammad Ilman Farhan

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Kuala Pilah: Bermula dengan kencing tidak lawas, tiada siapa menyangka Muhammad Ilman Farhan, 16, rupanya mengidap barah saraf tunjang tulang belakang dan hanya mampu terlantar di katil sejak setahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan Nurul Adura Roslan, 40, yang bekerja di sebuah syarikat kurier terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana perlu berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan menjaga Muhammad Ilman.

Nurul Adura yang juga seorang ibu tunggal dari Kampung Gedang, Terachi, di sini kini terpaksa mengharapkan sumbangan bantuan daripada orang ramai bagi meringankan beban yang ditanggung mereka sekeluarga.

"Pada hujung tahun 2018, Muhammad Ilman mengadu kencingnya tidak lawas dan sukar untuk kencing, ada kalanya dia tidak sedar yang dia sudah membuang air.

"Ketika menghantar dia ke hospital, doktor mengesahkan ada ketumbuhan di belakang pinggang dia dan perlu menjalani pembedahan segera sehingga kedua-dua kakinya kelihatan semakin lemah dan kini seolah lumpuh.

"Sejak disahkan mengidap kanser tahap tiga ini, Muhammad Ilman terpaksa berhenti sekolah," katanya.

Dia berkata, Muhammad Ilman mendapat rawatan di Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya dan ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

"Setiap kali pergi mendapatkan rawatan ia membabitkan kos dan mungkin lama di sana malah kemungkinan ada lebih 30 kali rawatan lagi.

"Saya ada mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM270 sebulan dan pihak Baitulmal juga ada menghantar bantuan katil dan peralatan perubatan namun, masih tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan dan kos ulang alik dari rumah ke hospital," katanya.

Nurul Adura berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) semalam.

Katanya, dia bersama ibu, Kamaliah Ahmad, 64, bergilir-gilir menjaga Muhammad Ilman selepas anaknya tidak mampu berjalan sejak beberapa bulan lalu.

"Saya dan ibu perlu menjaga Ilman memandangkan dia lumpuh kedua-dua kaki dan tidak boleh menguruskan diri sendiri dan berharap ada pihak dapat menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan kesulitan yang ditanggung.

"Lebih saya terharu, ibu saya terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan berdekatan untuk menampung keperluan harian di rumah ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha PERKASIH N9, Salina Nadzir berkata, pihaknya menghulurkan sumbangan seperti barang makanan, lampin pakai buang dan wang tunai.

"Kami akan terus memantau perkembangan keluarga ini kerana mereka memerlukan bantuan dan berharap ada pihak lain menyalurkan bantuan berupa wang tunai untuk kegunaan mereka sekeluarga.

"Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB 7617766831.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 5:24pm
d