mutakhir

Agong berkenan berangkat ke majlis perpisahan tiga Duta Besar

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Mengadap Perpisahan Tiga Duta Besar Asing ke Malaysia di Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, perwakilan asing itu ialah Duta Besar Thailand Narong Sasitorn (berkhidmat di Malaysia sejak November 2018), Duta Besar Vietnam Dr Le Quy Quynh (berkhidmat di Malaysia sejak Julai 2017) dan Duta Besar Perancis Frederic Laplanche (berkhidmat di Malaysia sejak Februari 2017).

Beliau berkata, tiga Duta Besar itu bakal menamatkan penempatan mereka di Malaysia pada September dan Oktober ini.

"Pada majlis yang berlangsung 11 pagi hari ini, Al-Sultan Abdullah merakamkan setinggi-setinggi penghargaan kepada ketiga-tiga Duta Besar itu di atas peranan yang dimainkan oleh mereka dalam memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala di antara negara masing-masing dengan Malaysia ke tahap yang lebih komprehensif.

"Al-Sultan Abdullah menzahirkan bahawa ketiga-tiga negara berkenaan adalah sahabat yang akrab dan penting khususnya dalam kalangan negara ASEAN.

"Baginda juga turut menzahirkan rasa puas hati dengan jalinan hubungan diplomatik yang kini berada pada tahap tertinggi di pelbagai peringkat," katanya dalam kenyataan Istana Negara itu.

Turut mengiringi Baginda ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya kerjasama sedia ada khususnya dalam hubungan ekonomi dua hala dapat diperkasakan lagi untuk kepentingan bersama.

Mengikut kenyataan Istana Negara itu, nilai jumlah perdagangan antara Malaysia dan Thailand tahun lalu berjumlah RM99.98 bilion dengan jumlah eksport sebanyak RM55.81 bilion dan jumlah import sebanyak RM44.17 bilion.

Bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, Thailand adalah rakan dagang ketujuh terbesar dan keenam terbesar dari segi pasaran eksport selain sumber import kelapan terbesar untuk Malaysia di peringkat global.

Vietnam pula, nilai perdagangan antara negara itu dan Malaysia tahun lalu berjumlah RM54.6 bilion dan tahun sama juga Malaysia negara pelabur asing kelapan terbesar di Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak RM53 bilion.

Sementara itu, nilai perdagangan antara Malaysia dan Perancis tahun lalu berjumlah RM17.07 bilion dengan jumlah eksport sebanyak RM6.21 bilion dan jumlah import sebanyak RM10.86 bilion.

Perancis negara pelabur asing keenam terbesar di antara negara Kesatuan Eropah dengan jumlah pelaburan di Malaysia sebanyak RM9.69 bilion tahun lalu.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 7:52pm
d