mutakhir

Bekerja keras seolah-olah esok PRU - Muhyiddin [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin meminta pemimpin politik kerajaan Perikatan Nasional (PN) bekerja keras seolah-olah esok Pilihan Raya Umum (PRU).

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ia selaras kewujudan PN sebagai wadah politik baharu dalam norma baharu.

Justeru, katanya, semua pemimpin setiap parti politik yang mendokong PN perlu mengelakkan perpecahan, dengan bersepakat dan berbincang secara baik bagi membina persefahaman yang kukuh.

"Bila masa sampai PRU, rakyat akan bangkit dan bangun berikan mandat kepada PN untuk bentuk kerajaan. Jangan tanya saya bila PRU nak diadakan, yang penting berkerja bersungguh-sungguh seolah-olah esok PRU akan diadakan.

"Yang penting untuk ke hadapan ini, bagaimana kita mahu tentukan usaha yang kita jalinkan, membuahkan sesuatu yang bermanfaat. Sebab itu kita harus bersepakat, berbincang secara baik tidak ada sifat dan perasaan cemburu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun Bersatu Ke-4 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, sebentar tadi.

Majlis itu dihadiri kira-kira 2,000 ahli Bersatu seluruh negara.

Antara pemimpin Bersatu yang hadir ialah Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin yang juga Ketua Penerangan, Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Muhyiddin berkata, kerjasama yang dibentuk dalam gabungan PN adalah satu bentuk gagasan politik baharu yang akan membawa negara ke tahap lebih gemilang.

"Maka disebabkan itu kita sepakat bersama dengan rakan lain dalam apa yang saya sebutkan Perikatan Nasional untuk bergabung tenaga dalam satu perjuangan politik yang satu. Mengelakkan pertembungan sebaliknya mewujudkan persefahaman dan berkerja bersama.

"Kita wujudkan suasana politik baharu dalam norma baru. Saya percaya rakyat akan mendokong kita. Saya buat ini untuk memulakan usaha menggabungkan gerakan politik dalam satu wadah perjuangan yang sama. Saya harap semua pihak beri sokongan dengan inisiatif yang kita ambil ini," katanya.

Muhyiddin berkata, atas semangat itu beliau mengambil keputusan segera untuk Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan Umno dan Pas.

Sementara itu, Muhyiddin turut membangkitkan kebimbangannya mengenai situasi terbaru jangkitan Covid-19 yang merekodkan 100 kes jangkitan positif hari ini.

Beliau memberikan jaminan, biarpun Malaysia bukan negara pengeluar vaksin, kerajaan akan pastikan sebaik vaksin dijumpai, bekalan secukupnya akan diperoleh untuk kegunaan rakyat.

"Kerajaan sudah buat keputusan mesti ada tindakan yang tegas diambil untuk menentukan walaupun vaksin tidak dikeluarkan negara kita, vaksin mesti ada di rumah kita.

"Tindakan sedang diambil, kerjasama dengan beberapa negara sudah kita jalin untuk jamin bekalan pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Hamzah dalam ucapannya menjelaskan Bersatu yang ditubuhkan secara rasmi pada 8 September 2016 yang keahliannya kini mencecah lebih 500,000 seluruh negara.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 10:37pm
d