mutakhir

Potong bekalan elektrik sebab masih degil

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Walaupun pernah diserbu berulang-kali dan diambil tindakan, namun terdapat segelintir individu tidak serik apabila masih meneruskan kegiatan judi dalam talian.

Bagaimanapun, aktiviti mereka tidak bertahan lama apabila tindakan memotong bekalan elektrik dilakukan ke atas 10 premis di Kepala Batas dan Butterworth, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tindakan diambil selepas mendapati premis itu pernah diserbu sebelum ini, tetapi masih tidak serik dengan menjalankan aktiviti perjudian.

Menurutnya, modus operandi mereka juga masih sama dengan berselindung di sebalik kedai menjual tambah nilai, kedai runcit, kedai pakaian dan kafe.

"Dalam operasi itu, polis menahan dua lelaki berusia 19 dan 27 tahun selepas dipercayai menawarkan perjudian dalam talian di hadapan sebuah rumah kosong.

"Mereka melakukan kegiatan itu di dalam sebuah kereta ketika serbuan dan polis merampas empat telefon pintar, wang tunai RM150 dan keratan kertas dipercayai untuk catatan judi.

"Sebenarnya, sebuah premis bersebelahan yang diserbu sebelum ini adalah tempat mereka melakukan aktiviti perjudian sebelum beralih melakukan kegiatan ini di dalam kereta," katanya ketika mengadakan operasi di Permatang Bendahari, di sini, hari ini.

Menurutnya, sejak 3 Julai sehingga hari ini, sebanyak 44 premis yang menjalankan kegiatan judi haram dan dalam talian dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik.

Katanya, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 4:51pm
d