mutakhir

Portfolio Exco Pulau Pinang dirombak [METROTV]

Oleh BERNAMA

Georgetown: Kerajaan negeri Pulau Pinang, hari ini mengumumkan rombakan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi menghadapi cabaran baharu berikutan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, penyusunan dan penjenamaan semula portfolio Exco itu untuk memastikan jentera pentadbiran kerajaan berfungsi dengan lebih cekap dalam keadaan ketika ini.

Menurutnya, justifikasi bagi penyusunan dan penjenamaan semula portfolio berikutan fokus kerajaan negeri terhadap pemulihan serta peningkatan ekonomi pasca Covid-19.

"Beberapa portfolio digabungkan dan dijenamakan semula, beberapa portfolio lain diganti untuk menonjolkan fokus barunya, sementara beberapa portfolio lagi telah dipindahkan dalam proses penggabungan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini, hari ini.

Penyusunan dan penjenamaan semula separuh penggal ini akan berkuat kuasa 15 September ini.

Beliau berkata, beberapa portfolio baharu turut dibentuk seperti portfolio Pembangunan Tanah & Ekonomi, Ekonomi Kreatif dan Agroteknologi dan Keselamatan Makanan.

Chow menerangkan bahawa portfolio beliau yang sebelum ini dikenali sebagai Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, akan dijenama semula sebagai Pembangunan Tanah & Ekonomi.

"Saya akan memegang jawatan Pembangunan Tanah dan Ekonomi dan juga Komunikasi, manakala portfolio Pengangkutan yang saya pegang sebelum ini akan diberikan kepada Zairil Khir Johari," katanya.

Beliau berkata, empat Exco akan kekal dengan jawatan mereka, hanya nama portfolio ditukar untuk menanggung tanggungjawab yang lebih luas.

Berikut adalah portfolio baharu Exco Pulau Pinang yang akan berkuat kuasa Selasa depan:

Ketua Menteri Chow Kon Yeow: Pembangunan Tanah dan Ekonomi, Komunikasi.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman: Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P Ramasamy: Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains dan Teknologi

• Chong Eng: Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam

• Jagdeep Singeh Deo: Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa

• Phee Boon Poh: Alam Sekitar dan Kebajikan

• Zairil Khir Johari: Pengangkutan dan Infrastruktur

• Datuk Abdul Halim Hussain: Perdagangan dan Industri dan Pembangunan Keusahawanan

• Yeoh Soon Hin: Pelancongan dan Ekonomi Kreatif

• Soon Lip Chee: Belia dan Sukan

• Dr Norlela Ariffin: Pembangunan Luar Bandar, Kesihatan dan Agroteknologi dan Keselamatan Makanan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 4:56pm
    d