mutakhir

Dakwa nak telefon ibu sebelum ragut [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tindakan remaja perempuan bersama tiga rakan lelakinya berpura-pura meminjam telefon bimbit seorang wanita konon untuk menghubungi ibunya sebelum meragut mangsa mengundang padah apabila mereka ditahan orang awam di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi, Cheras, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, remaja perempuan berusia 16 tahun terbabit mulanya datang bertemu dengan mangsa di tepi jalan sebelum memohon keizinan untuk meminjam telefon bimbit wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, ketika mangsa sedang menaip nombor yang didakwa ingin dihubungi suspek, remaja perempuan itu tiba-tiba merampas telefon wanita berkenaan dan melarikan diri.

Menurutnya, kejadian itu disedari orang awam yang berada di kedai makan dan dua individu mengejar suspek bersama tiga lagi rakan lelakinya berusia 14 hingga 17 tahun.

"Suspek berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada anggota Balai Polis Salak Selatan Baru untuk tindakan lanjut.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu bagi menahan suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, siasatan mendapati semua suspek tidak bersekolah dan tiada rekod jenayah lampau.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Tangkapan orang ramai dibolehkan dalam undang-undang namun begitu adalah dinasihatkan untuk orang ramai tidak mengambil tindakan di luar undang-undang.

"Orang ramai perlu terus menghubungi pihak polis untuk tindakan tangkapan semula untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 5:31pm
d