mutakhir

Cari ibu kandung untuk proses pengambilan anak angkat [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Seorang wanita dicari bagi membantu urusan pengambilan anak angkat iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Wanita dikenali sebagai Ita dan berusia 22 tahun itu kini dipercayai berada di kampung halamannya di Narathiwat, Thailand, sejak setahun lalu.

Anaknya, Khalish Aryan Abdul Fattah, dijaga suami isteri, Nor Azrin Nasaruddin, 32, dan Mohd Izuri Ibrahim, 37.

Nor Azrin berkata, wanita itu dicari bagi membantu urusan mereka mengambil kanak-kanak dipelihara sejak lahir itu sebagai anak angkat secara sah.

"Wanita terbabit menyerahkan Khalish kepada saya selepas dilahirkan apabila dia mengaku tidak mampu memelihara bayi itu disebabkan kesempitan hidup.

"Beberapa lama selepas itu kami masih lagi berhubung, namun sejak setahun lalu wanita itu sudah tidak dapat dikesan.

"Saya dan suami kini sedang menguruskan proses pengambilan Khalish sebagai anak angkat secara rasmi dan agensi berwajib meminta agar dikesan ibu kandungnya bagi membantu urusan ini," katanya ketika ditemui di pejabat NSTP di sini, hari ini.

Nor Azrin yang juga kakitangan awam berkata, sejak dalam kandungan lagi, ibu kandung bayi berkenaan meminta saudaranya mencari keluarga angkat untuk bayi bakal lahir itu.

Mereka yang sudah lapan tahun mendirikan rumah tangga dan belum dikurniakan cahaya mata bersetuju sebaik dimaklumkan saudara wanita terbabit.

"Kami membayar segala kos kelahiran ketika itu dan sehingga kini, Khalish membesar sebagai seorang kanak-kanak yang baik.

"Saya memohon agar ibu kandung Khalish dapat tampil secepat mungkin bagi membantu kami melancarkan proses ini," katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 6:35pm
d