mutakhir

Dua peniaga pasar ditahan SPRM rasuah penguat kuasa

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang menahan dua peniaga di pasar awam dekat sini, kerana dipercayai memberi rasuah kepada penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika mengesahkan penahanan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, kedua-dua suspek memberi rasuah kepada pembantu penguat kuasa MPK masing-masing RM500 dan RM1,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan melanggar syarat lesen dengan menggajikan warga asing di Pasar Awam Kluang.

Katanya, peniaga itu didapati melanggar Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang mana jumlah kadar kompaun bagi kesalahan terbabit berjumlah RM1,000.

"Kedua-dua suspek yang berusia 37 dan 59 tahun ditahan jam 3.30 petang tadi di Pejabat SPRM Cawangan Kluang bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, sabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak lebih 20 tahun," katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 7:20pm
d