mutakhir

Makan 20 biji paracetamol tertekan dirogol

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tertekan dirinya menjadi mangsa rogol menyebabkan seorang wanita bertindak nekad cuba membunuh diri dengan memakan 20 biji paracetamol ketika berada di rumah sewanya di Cheras, di sini, Ahad lalu.

Bagaimanapun mangsa berusia 24 tahun terselamat selepas perbuatannya itu disedari rakan serumah yang kemudian membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, pada 9 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa yang bekerja sebagai kerani itu turut membuat laporan polis Ahad lalu menyatakan kejadian rogol itu berlaku pada 4 September lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam bilik sebelum diceroboh lelaki dikenalinya yang juga rakan kepada teman serumahnya.

"Rumah itu didiami empat wanita bujang dan akibat kejadian itu mangsa yang tertekan sehingga bertindak memakan 20 biji paracetamol.

"Doktor yang merawatnya juga sudah membuat laporan polis dan mangsa kini stabil dan dibawa pulang ke kampung keluarganya di Johor," katanya ketika dihubungi malam ini.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan dan kita juga mengambil keterangan rakan serumah bagi membantu siasatan.

"Suspek sudah dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 8:56pm
d