mutakhir

169,315 saman AWAS dikeluarkan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 169,315 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sejak kerajaan mengambil alih operasinya dari pihak swasta.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata, sepanjang tempoh 1 September 2018 sehingga Disember tahun lalu, sejumlah RM6.9 juta kompaun juga berjaya dikutip.

"AWAS atau dahulunya dipanggil Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sememangnya memberi kesan, sebab itu ia diteruskan apabila kerajaan terdahulu mengambil alih.

"Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati AWAS atau AES dapat mengurangkan 95 peratus jumlah risiko kemalangan di persimpangan lalu lintas dan jalan raya yang dipasang kamera," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah yang ingin tahu jumlah saman dan kompaun yang dikutip sepanjang tempoh itu.

Menjawab soalan Senator Datuk Kesavadas A Achayuthan Nair mengenai langkah strategik bagi mengurangkan kadar kematian penunggang motosikal akibat kemalangan jalan raya Hasbi berkata, sebanyak 6,167 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan tahun lalu, dengan 64 peratus daripadanya adalah penunggang dan pembonceng motosikal.

Beliau berkata, kementerian memandang serius mengenai perkara yang boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya.

Justeru, katanya, kementerian melalui agensi di bawahnya sudah menjalankan pelbagai bentuk kempen dan advokasi yang berterusan seperti Program Tiada Minggu Tanpa Advokasi (TMTA) di seluruh negara.

Selain itu katanya, program kesedaran menerusi sesi ceramah dan kempen keselamatan jalan raya di organisasi kerajaan, swasta, komuniti setempat, di sekolah dan institusi pengajian tinggi turut dilaksanakan.

"Mesej peringatan juga dikeluarkan di stesen televisyen menerusi slot wawancara, iklan dan 'crawler', hebahan di radio dan media sosial yang dilaksanakan sepanjang tahun bagi mengubah sikap dan mendidik pengguna jalan raya.

"Selain itu, kementerian melalui Miros juga banyak melakukan promosi, kursus dan latihan berkaitan keselamatan jalan raya terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti penunggang motosikal termasuk program Sokongan Keselamatan Perjalanan yang masih berlangsung," katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 2:04pm
d