mutakhir

Tiga pelajar pukul junior direman empat hari

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Tanah Merah: Tiga pelajar yang dipercayai membelasah rakannya di asrama sekolah menengah di sini, direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman sehingga Ahad ini terhadap ketiga-tiga suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Zul Zakiquddin Zulkifli.

Ketiga-tiga remaja itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, semua pelajar Tingkatan Lima itu dibawa ke pekarangan Mahkamah Majistret pada 9 pagi dengan menaiki lori polis.

Dalam kejadian petang kelmarin, seorang pelajar Tingkatan Satu dibelasah tiga rakannya selepas bergurau mahu belanja mereka makan ayam goreng.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa sebelum tangkapan dilakukan.

"Berdasarkan keterangan awal remaja itu, ketiga-tiga suspek memukulnya kerana berang mempermainkan mereka dengan gurauan hendak belanja ayam goreng," katanya.

Video berdurasi selama 25 saat yang dirakam salah seorang suspek itu tular menunjukkan mangsa tidak melawan apabila dipukul bertubi-tubi.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 2:46pm
d