mutakhir

RM18 juta atasi masalah air keruh di Raub

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM18 juta untuk mengatasi masalah air keruh di tiga Loji Rawatan Air (LRA) di Raub.

Peruntukan itu membabitkan RM7.57 juta di LRA Sungai Bilut, LRA Sungai Semantan (RM6.19 juta) dan LRA Sungai Klau (RM4.24 juta).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dokumen tender untuk kerja mengatasi kekeruhan tinggi membabitkan tiga LRA di Raub sudah siap.

"Tender terbuka mengenainya dijangka dipanggil pada akhir bulan ini dan tempoh penyiapan kerja itu selama 15 bulan iaitu skop projek merangkumi pelantikan jurutera perunding, kerja ukur dan penyiasatan tanah.

"Skop utama projek ini ialah membina tangki pra-enapan (pre sedimentation tank), penggantian pam dan peralatan elektrik.

"Manakala reka bentuknya akan mengambil kira kekeruhan air mentah hingga setinggi 20,000 NTU (nephelometric turbidity unit)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 4:48pm
d