mutakhir

Angkut alat ganti tiruan guna empat lori

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Khidmat empat lori digunakan bagi mengangkut 17,187 unit alat ganti dan aksesori motosikal tiruan serta 113 unit topi keledar yang dirampas dalam pemeriksaan di sebuah stor dekat Taman Gemilang, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan pada 11.30 pagi oleh sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang selepas menerima maklumat.

Pemeriksaan yang dilakukan bersama pemilik cap dagangan jenama terkemuka itu merampas pelbagai alat ganti motosikal, aksesori dan topi keledar berjumlah hampir RM340,500.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri Peter J Berinus Agang berkata, antara alat ganti serta aksesori tiruan yang dirampas termasuk pad brek, pemegang motosikal, cakera brek dan cermin sisi.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua alat ganti, aksesori dan topi keledar tiruan itu dijual pada harga murah berbanding pasaran sekali gus memperdayakan pembeli.

"Kita masih menyiasat mengenai harga sebenar, namun kita dapati ia (barangan tiruan) dijual pada harga serendah RM10 untuk menarik pelanggan iaitu jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

"Perkara seperti ini yang ditakuti kerana ia membabitkan keselamatan pengguna selain hak pemilik cap dagang yang dicabuli pihak tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDNHEP, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya mendapati pemilik premis itu menjual alat ganti dan aksesori tiruan serta topi keledar yang gagal mematuhi Perintah Penandaan Topi Keledar Motosikal 2012.

"Kita merakamkan percakapan dua lelaki warga tempatan berusia 45 dan 49 tahun yang mendakwa sebagai pemilik premis itu untuk tindakan lanjut.

"Manakala kesemua alat ganti, aksesori tiruan dan topi keledar terbabit kemudian dibawa balik dengan menggunakan empat lori," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Topi Keledar Motosikal) 2012.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 4:58pm
d