mutakhir

Sukarelawan syariah pantau jenayah takzir

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Kawasan pesisir Pantai Tok Jembal, Pantai Miami dan kawasan pekarangan Jambatan Angkat antara kawasan kerap berlakunya jenayah syariah (takzir) termasuk kes khalwat di Terengganu.

Sehubungan itu kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melantik 120 sukarelawan syariah di daerah ini.

Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Islam JHEAT, Zulkifli Othman berkata, pelantikan 120 sukarelawan syariah itu akan membantu JHEAT menangani kes berkaitan jenayah takzir di daerah berkenaan.

Beliau berkata, secara keseluruhan JHEAT melantik lebih 700 sukarelawan syariah di seluruh negeri dan setiap daerah mempunyai sukarelawan syariah tersendiri.

"Berdasarkan pemerhatian dan rekod sedia ada kes kesalahan jenayah takzir seperti berkhalwat kerap berlaku di kawasan pantai.

"Mereka berdua-duaan di dalam kereta, di tepi pantai tanpa sebarang ikatan perkahwinan dan sekiranya tertangkap boleh didakwa mengikut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 dan penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, wanita Islam yang didapati mendedahkan tubuh di tempat awam pula boleh didakwa mengikut Seksyen 35 enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM1,000 dan penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui di Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Kuala Nerus, hari ini.

Zulkifli berkata, sukarelawan syariah itu akan menyalurkan maklumat kepada penguat kuasa JHEAT sekiranya melihat salah laku orang ramai di tempat awam.

Beliau berkata, JHEAT akan segera bertindak dan membuat serbuan bergantung kepada kes dan bantuan sukarelawan syariah itu diharap dapat mencegah perbuatan tidak bermoral.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 5:20pm
d