mutakhir

Geng Kokak 2020 didalangi pasangan kekasih tumpas

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Mencuri kereta lama kemudian meleraikan komponennya untuk dijual sebagai alat ganti.

Itu yang dilakukan sindiket curi kenderaan dikenali Geng Kokak 2020 didalangi pasangan kekasih yang aktif melakukan kegiatan itu sekitar Pulau Pinang dan Kulim, Kedah sejak Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sindiket itu tumpas selepas pasangan kekasih termasuk tiga rakan subahat mereka ditahan, Isnin lalu.

Menurutnya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) sebelum itu mengesan sebuah kereta dipandu seorang wanita dalam keadaaan mencurigakan di Permatang Pauh, Bukit Mertajam pada 4.50 pagi.

"Anggota polis meminta wanita terbabit memberhentikan kenderaan, namun dia terus memecut laju hingga menghala ke Bandar Perda, Bukit Mertajam lalu memaksa polis mengejar kenderaan terbabit sejuah kira-kira 2.5 kilometer (KM).

"Sebuah van dipandu seorang lelaki tiba-tiba menghampiri kenderaan MPV dan cuba menghalang polis daripada mengejar kereta dipandu wanita terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Katanya, polis akhirnya berjaya menahan pemandu wanita berusia 25 tahun itu selepas kereta berkenaan terbabas, manakala pemandu van terbabit pula melarikan diri.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan itu mendapati ia baru sahaja dicuri oleh wanita terbabit di Bukit Tengah, manakala pemandu van terbabit dipercayai teman lelakinya dan juga rakan sejenayah mereka.

"Bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah di Ampang Jajar sebelum menahan pemandu van berusia 30 tahun serta tiga lelaki yang juga rakan sejenayah mereka berusia 23 hingga 28 tahun dalam sebuah van," katanya.

Katanya, siasatan juga mendapati teman lelaki wanita itu baharu dibebaskan dari penjara pada Julai lalu sebelum mereka kembali bergiat aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan sekitar daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Kulim, Kedah.

"Kedua-dua mereka juga mempunyai kepakaran untuk mencuri sebuah kereta dalam tempoh lima minit sahaja dengan hanya menggunakan 'allen key'.

"Semua komponen yang dileraikan itu pula diberikan kepada tiga rakan sejenayah mereka untuk dijual kepada pembeli pada harga murah di mana kelima-lima mereka hidup mewah dengan kegiatan ini," katanya.

Menurutnya, polis merampas semula lapan kereta yang dicuri suspek termasuk van bernilai RM45,000.

Katanya, kelima-lima suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 5:43pm
d