mutakhir

613 kompaun dikenakan ingkar Akta 342

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Sebanyak 613 kompaun dikeluarkan di negeri ini atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) setakat 31 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, 452 daripadanya sudah menjelaskan bayaran.

Katanya, sebanyak 121 kompaun lagi melebihi tempoh bayaran 14 hari dan daripada jumlah berkenaan, 85 di daftarkan di mahkamah manakala selebihnya masih dalam proses pendaftaran mahkamah.

"Bagi tempoh yang sama juga, terdapat 14 kes disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman denda berjumlah keseluruhan RM 12,400 atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Jumlah mereka yang dikenakan kompaun bagaimanapun menunjukkan penurunan berikutan masyarakat semakin patuh terhadap normal baharu yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Sementara itu, laporan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) setakat semalam, merekodkan satu kes baharu import positif Covid-19.

Setakat ini, keseluruhan kes Covid-19 di Negeri Semilan sebanyak 1,039 dengan 1,026 kes sembuh dan discaj, lima kes yang menerima rawatan di wad, dan lapan kes meninggal dunia.

"Tiada kes masih aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (Jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir)," katanya.

Veerapan menasihatkan orang ramai terus mematuhi amalan normal baharu dalam usaha mengelak penularan Covid-19.

"Orang ramai perlu terus patuh kepada arahan kerajaan mengenai amalan norma baharu ini supaya kita dapat menyekat rantaian penularan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 6:04pm
    d