mutakhir

Bot bawa 20 murid sekolah terbalik di Telupid

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Telupid: Bot dinaiki 20 murid sekolah terbalik di Sungai Labuk dekat Kampung Tembidong-Bidong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, semua mangsa berusia enam hingga 12 tahun terselamat selepas sempat berpaut pada bot terbabit sebelum dibantu penduduk yang menyedari kejadian itu.

Difahamkan, perjalanan menyeberangi sungai untuk menghantar murid ke sekolah berhampiran kawasan itu hanya memakan masa dalam lima hingga sepuluh minit sahaja tetapi nasib malang menimpa mereka apabila bot dinaiki tiba-tiba terbalik.

Penduduk, Hamzah Sahi, 45, berkata, sebaik menyedari kejadian itu, dia segera memecut bot dan menyelamatkan murid berkenaan.

"Saya bersama abang ipar, terlihat bot itu terbalik dan ada sebahagian murid sempat berpaut pada bot berkenaan, ada juga yang dihanyutkan arus sungai.

"Kami segera menyelamatkan semua murid itu dan membawa mereka ke tebing sungai," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurutnya, ketika menyelamatkan murid berkenaan, dia terpaksa terjun ke sungai untuk membawa mereka ke bot yang dinaikinya.

Sementara itu, seorang daripada murid itu, Mohd Athdiza Hazifizi, 10, berkata ketika kejadian dia duduk di bahagian belakang bot.

"Apabila bot karam (terbalik), saya berenang mendekati bot (apabila timbbul semula). Nasib baik saya tahu berenang.

"Beg saya pula pada awalnya turut tenggelam dan dihanyutkan air. Namun, beg itu timbul semula dan berjaya ditemui tetapi semua buku basah," katanya.

Seorang daripada bapa mangsa, Zurani Muallam, 46, berkata, dua anaknya terbabit dalam kejadian berkenaan,

"Sejurus kejadian, kami terdengar mereka menjerit (meminta tolong). Kami kemudiannya segera ke tempat itu dan syukur semua mereka berjaya diselamatkan.

"Justeru, kami mahu pihak berkaitan melihat perkara ini dengan teliti dan berharap mereka dapat menyalurkan bantuan sepatutnya," katanya

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 6:59pm
d