mutakhir

'Jason' perdaya penjawat awam RM18,732.10

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Seorang penjawat awam menjadi mangsa sindiket pinjaman tidak wujud membabitkan kerugian RM18,732.10, bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 34 tahun berminat untuk membuat pinjaman selepas melihat iklan pinjaman wang berlesen di Facebook pada 14 Ogos lalu.

Beliau berkata, mangsa mengisi borang secara dalam talian sebelum menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki bernama Jason.

Menurutnya, perbincangan dilakukan dan mangsa bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM50,000 dengan bayaran bulanan RM620.

"Selepas itu bermula 25 Ogos hingga Selasa lalu mangsa membuat enam transaksi pembayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM18,732.10.

"Pembayaran itu dibuat sebagai bayaran wang colleteral, yuran perjanjian, wang Takaful Polisi Insuran, wang perjanjian pinjaman baru, bayaran wang tersilap bayar dan wang pembetulan sistem.

"Semua transaksi dilakukan secara dalam talian dan melalui mesin deposit tunai (CDM) ke tiga akaun bank berbeza, namun mangsa tidak mendapat wang pinjaman dijanjikan sehingga kini," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut selepas merasakan dirinya tertipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 7:00pm
d