mutakhir

PRN Sabah: UPKO pertaruh 10 muka baharu

Oleh Yun Mikail

Kota Kinabalu: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengetengahkan 10 muka baharu bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pihaknya dipertanggungjawabkan bertanding untuk 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun 10 calon yang dipilih adalah muka baharu manakala dua lagi kerusi ditandinginya dan Datuk Ewon Benedick.

"Kita juga meletakkan seorang calon wanita iaitu Georgina L George bagi kerusi Paginatan.

"Walaupun Georgina adalah calon wanita tunggal yang mewakili UPKO namun kita yakin beliau mampu memperoleh kemenangan dalam pilihan raya nanti.

"Sama seperti Georgina, kita turut meletak harapan tinggi ke atas semua calon-calon yang sudah dipilih," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Visi dan Misi WARISAN Plus dan Pengumuman Calon WARISAN Plus, di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya samaada UPKO berpuas hati mengenai jumlah kerusi diberikan, Madius berkata pihaknya ada berbincang dengan kepimpinan tertinggi bagi mendapatkan kerusi lebih banyak namun hanya 12 kerusi sahaja ditandingi UPKO.

"Memandangkan kita mempunyai empat parti yang bergabung dalam PRN Sabah kali ini, maka hanya ini kerusi yang kita perolehi.

"Bagaimanapun, tentunya jumlah ini dua kali ganda lebih banyak bsrbanding ketika UPKO menjadi komponen Barisan Nasional (BN).

"Perkara paling penting bukan jumlah kerusi yang kita akan bertanding tetapi jumlah kerusi yang akan menang," katanya.

Turut tercalon adalah Datuk Dr Lucas Umbul (Kemabong), Nelson W Angang (Kuala Penyu), Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu (Tambunan) dan Felix Jospeh Saang (Telupid).

Menerusi jumlah 12 kerusi berkenaan, UPKO memperoleh dua daripada 13 kerusi DUN baharu iaitu Bengkoka dan Telupid.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 7:37pm
d