mutakhir

Dulu tokan dadah, sekarang imam surau

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Hikmah di sebalik menjalani hukuman penjara dan sebatan, bekas tokan dadah nekad melupakan kisah silam dan mahu menjadi imam sepanjang hayat.

Noor Effendi Abdul Rahim, 33, pernah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan menjalani program pemulihan dalam komuniti atau sistem parol selama setahun, sebelum dibebaskan pada April lalu.

Dia kini mendapat kepercayaan penduduk setempat dan dilantik menjadi imam serta ahli jawatan kuasa surau berhampiran kediamannya.

Menceritakan kisahnya, Noor Effendi berkata, dia ditahan polis bersama syabu di rumahnya sebelum dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2016.

"Ketika dalam penjara saya banyak menghabiskan masa dengan membaca tafsir al-Quran yang membuka hati untuk insaf, selain mendengar ceramah agama dengan tekun.

"Berkat doa berterusan saya dipilih menyertai sistem parol dan dibebaskan awal, walaupun hukuman penjara dijatuhi mahkamah adalah selama enam tahun serta 10 sebatan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Noor Effendi berkata, dia bersyukur kerana masyarakat kampung kini menerima semula kehadirannya walaupun pernah bergelar banduan, malah turut melantiknya sebagai imam surau.

"Tujuh hari selepas saya balik semula ke kampung, saya memberanikan diri mengalunkan azan di surau, sebelum diminta menjadi imam dan berterusan sehinggalah ke hari ini.

"Doakan saya istiqomah mempelajari ilmu agama dan menjadi imam seumur hidup, selain mencari rezeki halal menjual roti canai dengan menyewa kedai di Pasar Awam Kuah," katanya.

Menurutnya, dia juga melangsaikan hukuman 10 sebatan yang diperintahkan mahkamah sepanjang tiga tahun menjalani hukuman di Penjara Seberang Prai, Pulau Pinang.

Bapa kepada tiga cahaya mata termasuk dua anak tiri itu ditemui pada Program Ramah Mesra Bersama Orang di Parol (ODP) yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dan Timbalannya, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak di Kampung Dato' Syed Nahar di sini.

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 11:52am
d