mutakhir

PRN Sabah: PN, BN, PBS capai konsensus [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Kinabalu: Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mencapai konsensus senarai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertemuan yang dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin kanan parti komponen berlangsung dalam suasana yang tenang.

Menurutnya, solidariti diwujudkan bagi mengelak pertembungan antara calon yang akan bertanding bermula esok.

"Solidariti ini diwujudkan bagi mengelak pertembungan sesama calon walaupun ada parti yang sudah umumkan calon masing-masing.

"Ini (pertembungan calon) akan diselesaikan secepat mungkin," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama kepimpinan kanan PN, BN dan PBS, hari ini.

Terdahulu, pertemuan selama satu jam itu membincangkan pertembungan calon dan koordinasi calon.

PRN Sabah akan bermula esok dengan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Sebelum ini, 11 kerusi dijangka bertembung sesama sendiri antara PN, BN dan PBS selepas semua parti mengumumkan calon masing-masing, beberapa hari lalu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, gabungan parti juga bersetuju untuk mewujudkan Aku Janji gabungan parti yang dilancarkan pada sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.

Katanya, Aku Janji itu akan merangkumi tawaran yang akan diberikan kepada rakyat Sabah dalam PRN Sabah.

"Aku Janji ini akan dilancarkan di Kota Kinabalu nanti yang akan memberikan tawaran baharu kepada rakyat Sabah," katanya.

Pertemuan tadi juga turut membincangkan mengenai koordinasi gerak kerja yang akan digunakan dalam PRN Sabah kali ini.

Beliau berkata, koordinasi gerak kerja ini penting untuk memastikan jentera akar umbi dapat digunakan sebaik mungkin sepanjang kempen.

"Ada pemimpin parti yang mengetuai gerak kerja turut bertanding jadi mereka mungkin tidak cukup masa untuk berkempen.

"Jadi koordinasi gerak kerja ini penting untuk memastikan kempen berjalan lancar," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 2:00pm
d