mutakhir

PPM Sarawak rampas 340 kotak bir

Oleh Melvin Joni

Sibu: Pasukan Polis Marin (PPM) Sarawak merampas 340 kotak minuman keras seludup dianggarkan bernilai RM42,940 dalam serbuan ke atas sebuah premis di pusat komersial Sibu Jaya di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, serbuan dilakukan Unit Risikan Marin (URM) Sibu dan URM Markas Kuching kira-kira jam 2.15 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan pasukan serbuan menjumpai 340 kotak minuman keras tanpa cukai kastam disusun di satu sudut dalam bahagian stor belakang premis terbabit.

"Kesemua minuman keras itu didapati tiada keterangan dokumen daripada kastam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsol berkata, pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan yang berada di dalam premis berkenaan.

Katanya, kesemua minuman keras itu termasuk suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 3:36pm
d