mutakhir

Siasat untuk keadilan Allahyarham Abdul Aziz [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Tidak ada apa-apa yang disembunyikan," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid mengulas siasatan kes Prebet Abdul Aziz Aznam, 20, yang menemui ajal selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan di sebuah kem tentera di Batu Pahat, Johor pada 29 Ogos lalu.

"Kita sedang menyiasat perkara (kematian Abdul Aziz) ini, saya tidak mahu ada apa-apa yang terlepas pandang untuk memberikan keadilan kepada arwah.

"Tidak akan memberikan keuntungan kepada PDRM untuk menyembunyikan apa-apa fakta kes, begitu dengan kes (anggota bomba Mohd) Adib yang juga sedang kita usahakan (siasatan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan kepada Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) PDRM oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di PLPGU Ipoh, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, setakat ini didapati tiada unsur kekerasan fizikal yang mengakibatkan arwah membuat keputusan melarikan diri dari kem berkenaan.

"Daripada maklumat yang kita terima dan hasil soal siasat yang dijalankan, ada bentuk hukuman tertentu dalam tentera seperti ketuk ketampi, jadi mungkin ada sebab lain arwah mengambil keputusan macam itu (terjun bangunan)," katanya.

Katanya, sebelum ini pihak kem tentera berkenaan ada berkomunikasi dengan ibu Allahyarham Abdul Aziz.

"Apabila arwah (Abdul Aziz) ini tidak balik ke kem berkenaan, jadi ibu arwah menelefon meminta pihak berkuasa kem tentera itu untuk menjemput anaknya supaya dia masuk bekerja balik," katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis sudah memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes kematian Abdul Aziz dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan di kem tentera terbabit.

Saksi itu terdiri daripada anggota kem sama untuk membantu siasatan kes termasuk detik sebelum mangsa dipercayai terjun.

Selain itu, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain dipetik berkata, tiada mana-mana pegawai atau anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dipanggil setakat ini bagi membantu siasatan polis berhubung kes terbabit.

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 4:55pm
d