mutakhir

Mengamuk pula bila kena tegur

Oleh Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Seorang lelaki tergamak memukul ibu bapa dan adik perempuannya hingga cedera dengan kayu gara-gara tidak dapat menerima teguran di Kampung Ara Kuda, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 2.35 pagi itu, suspek berusia 37 tahun dikatakan membuat bising sehingga menganggu tidur ahli keluarganya sebelum ditegur bapanya berusia 70 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, teguran itu menyebabkan suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah marah lalu mengamuk.

Menurutnya, suspek mengambil sebatang kayu dan mengetuk dinding rumah sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

"Siasatan awal mendapati suspek bertindak memukul kepala bapanya dengan menggunakan kayu, manakala ibu dan adik perempuannya juga dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan itu.

"Bapa suspek mengalami luka di kiri kepala, manakala ibunya berusia 68 tahun pula luka di atas kepala dan adik perempuannya berusia 23 tahun mengalami lebam di belakang badan, bahu dan tangan," katanya.

Menurutnya, suspek melarikan diri sejurus kejadian dan semua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) sebelum dibenarkan pulang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 5:38pm
d