mutakhir

PBS tetap tanding 15 kerusi

Oleh Suzanna Maidan

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) tetap bertanding 15 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hujung bulan ini, walaupun berlaku pertindihan kerusi dengan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden PBS, Datuk Radin Malleh berkata, biarlah parti terbaik yang akan menang di kawasan yang bertindih itu.

PBS katanya, tidak akan menarik calonnya daripada lapan kerusi yang bertindih itu tetapi sebaliknya akan terus bertanding.

"Sebenarnya kami mahu mengelakkan pertandingan persahabatan seperti ini. Kami sudah meminta 25 kerusi (dalam Perikatan Nasional -PN) tetapi dapat 15 kerusi. Bagaimanapun, kami menerima dengan hati terbuka.

"Kami berasakan kami boleh menang dengan mudah kerana tahu kekuatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) ini. Namun, ada parti lain dalam gabungan BN yang berminat untuk bertanding di kerusi yang sama. Tetapi dalam pilihan raya sukar untuk mengelakkan pertindihan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PBS di sini, hari ini.

Pada PRN Sabah ke-16 ini, lapan daripada 15 kerusi yang diumumkan PBS, turut ditandingi BN-UMNO iaitu DUN Bengkoka, Tanjung Aru dan Telupid manakala Matunggong, Tandek dan Kadamaian (BN-Parti Bersatu Rakyat Sabah) serta Kapayan dan Karamunting (BN-MCA).

Kerusi lain yang dijangka bertindih antara PBS dengan BN-UMNO adalah Melalap, susulan spekulasi penyandang DUN Kemabong, Jamawi Jaafar akan bertanding.

Mengulas lanjut apa usaha PBS untuk mengelak berlaku pertindihan, Radin berkata usaha untuk menyelesaikan masalah itu sudah dibuat tetapi tidak sampai untuk menghalang pihak lain untuk bertanding.

"Kami tidak dapat melakukan apa-apa kerana ini adalah demokrasi. Kami juga bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebanyak tiga kali untuk memberi penjelasan mengenai kedudukan parti," katanya.

Pada majlis itu, Radin turut melancarkan 10 intipati manifesto parti itu antaranya memperkenalkan kembali Undang-Undang Anti Lompat, pada pilihan raya ini.

Radin berkata, parti itu bertekad untuk membawa usul undang-undang anti lompat parti ke persidangan DUN.

"Isu lompat parti selalu berlaku di Sabah. Kami tidak mahu ini sering berlaku kerana bertentangan dengan integriti dan maruah parti. Perlu ada kaedah untuk menyelesaikannya," katanya.

Selain anti-lompat, intipati manifesto lain ialah memberi fokus pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), melindungi hak orang asal warganegara Malaysia di Sabah dan melindungi alam sekitar serta sumber semula jadi.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 5:57pm
d