mutakhir

HM rangkul dua anugerah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Harian Metro (HM) terus membuktikan kehebatan apabila mengungguli Kategori Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang dan Kategori Infografik Terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2019 yang berlangsung di Majestic Hotel, di sini, malam ini.

Tempat pertama Kategori Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang dimenangi bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein menerusi laporan mengenai kesengsaraan penduduk di Gaza.

Manakala kategori Infografik Terbaik kali keempat berturut-turut dimenangi Harian Metro menerusi gandingan Nor 'Asyikin Mat Hayin dan Norsalim Mohamed Dawam meneruis grafik maklumat Taman Laut Malaysia Melestari Anugerah Alam.

Pemenang kedua-dua kategori itu membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sijil.

Sementara itu, Harian Metro turut mendapat hadiah saguhati berupa sijil dan wang tunai RM1,000 menerusi kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang menerusi wartawan Skuad Khas Harian Metro dengan laporan mengenai Pencerobohan Bot Nelayan Vietnam.

Jurugambar Harian Metro, Khairul Azry Bidin turut mendapat hadiah saguhati menerusi Kategori Kewartawanan Foto Cemerlang menerusi tajuk Di Lembah Terbuang.

Dalam majlis berkenaan, Kumpulan Media Prima mengungguli anugerah kewartawanan berkenaan apabila menguasai enam kategori utama.

Selain dua kategori yang dimenangi Harian Metro, New Straits Times memenangi Kategori Penulisan Kolum/Rencana Pengarang, TV3 memenangi Kategori Dokumentari Video Terbaik dan Kategori Berita Video terbaik manakala Berita Harian memenangi Kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas.

Pemenang setiap kategori masing-masing menerima RM10,000 dan sijil.

Sementara itu, Allahyarham Datuk Ahmad A Talib, bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Media Prima Berhad diberikan Anugerah Khas Juri yang membawa pulang RM 10,000.

Buat pertama kali sejak penganjuran, tiga anugerah tidak dimenangi iaitu Hadiah Kajai, Tokoh Media Negara dan Tokoh Wartawan Negara.

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Radzi Jidin yang mewakili Perdana Menteri.

Turut hadir Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit dan Pengarang Eksekutif (Kandungan) Muhamad Safar Ahmad.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Malam Wartawan Malaysia 2020, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, mungkin penganjuran MMW2020 tidak begitu meriah seperti tahun sebelumnya tetapi apa yang penting ia dapat disempurnakan dengan baik.

"Insya-Allah selepas penularan Covid-19 dapat dikawal dengan penemuan vaksin tahun depan penganjuran MWM akan kembali kepada standard asal," katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 10:54pm
d