mutakhir

PRN Sabah: Tiga calon ada hubungan keluarga berentap di Bongawan

Oleh Juwan Riduan

Bongawan: Proses penamaan calon bagi Dewan Undang Negeri (Dun) Bongawan menyaksikan tiga calon bertanding mempunyai pertalian keluarga bagi merebut kerusi berkenaan.

Mereka adalah penyandang kerusi Bongawan dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Dr Daud Yusuf, sepupunya dari Barisan Nasional (BN), Ag Lahap Ag Bakar @ Ag Syairin dan anak saudara, Mohd Azree Abd Ghani mewakili Parti Liberal Demokratik (LDP).

Dun Bongawan juga menyaksikan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang mewakili Parti Cinta Sabah (PCS) turut bertanding merebut kerusi sama.

Keempat-empat calon mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum tempoh penamaan calon tamat pada 10 pagi tadi.

Anifah mengemukakan borang pencalonan pada 9.02 pagi diikut Ag Syairin, Daud dan Mohd Azree.

Pegawai Pilihan Raya Dun Bongawan, Bakri Sudin mengumumkan senarai calon yang bertanding pada 10.30 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Sri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan, di sini, ditutup.

Daud ketika ditemui berkata, beliau mempunyai pertalian keluarga dengan dua calon yang bertanding iaitu Mohd Azree dan Ag Syairin.

"Ketiga-tiga kami ada kaitan kekeluargaan dan anak jati Bongawan... Mohd Azree sepupu manakala Ag Syairin juga sepupu saya.

"Namun dalam PRN ini, janganlah sesekali menyuarakan hal peribadi tapi kita mahu hala tuju apa yang kita mahu lakukan untuk Bongawan," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 12:48pm
d