mutakhir

Tangan bayi putus digigit anjing: Pemilik didenda tiada lesen

Oleh Amir Mamat

Melaka: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengesahkan pemilik anjing yang menggigit tangan kanan bayi perempuan berusia tujuh hari sehingga putus di Bachang di sini, Selasa lalu, tidak mempunyai lesen peliharaan haiwan itu.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, anjing jenis 'Plott Hound' itu sudah ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri untuk tindakan kuarantin selama dua minggu bagi memastikan tiada gejala penyakit anjing gila (rabies).

"Susulan laporan diterima berkaitan kejadian itu, sepasukan anggota MBMB bersama polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri bertindak ke lokasi kejadian di Taman Widuri, Bachang.

"Berdasarkan rekod, pemilik anjing berusia 41 tahun itu tidak mempunyai lesen, malah anjing baka Jerman itu jarang dipelihara di negara ini dan tidak boleh dilesenkan.

"Sehubungan itu, tindakan tegas di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing akan diambil ke atas lelaki berkenaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Aidi Mohamad berkata, kuarantin haiwan dibuat selama 14 hari dan jika terdapat tanda virus rabies, haiwan itu akan dilupuskan.

Katanya, tangkapan anjing jantan yang menggigit bayi berkenaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953 untuk pemerhatian penyakit anjing gila.

"Jika tiada tanda penyakit, anjing akan diserahkan semula kepada MBMB selepas tempoh kuarantin untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, Selasa lalu itu, seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan kanan selepas digigit anjing peliharaan ahli keluarganya.

Ketika kejadian, bayi berkenaan dijaga makciknya di rumahnya itu.

Wanita terbabit membawa bayi berkenaan ke ruang tamu berdekatan pintu pagar rumah dengan tujuan dikenakan cahaya matahari bagi mengurangkan gejala demam kuning.

Sementara itu, usaha untuk menjejaki keluarga bayi malang terbabit bagi mendapatkan perkembangan terkini rawatan di tangannya, gagal.

Difahamkan, semua ahli keluarga mangsa berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tempat bayi itu menerima rawatan.

Berita berkaitan

Tangan bayi 7 hari putus digigit anjing

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 1:18pm
d