mutakhir

PRN Sabah: Hajiji bakal Ketua Menteri? [METROTV]

Oleh Izwan Abdullah

Tuaran: Perdana Menteri memberi bayangan kemungkinan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor dilantik menjadi Ketua Menteri jika gabungan Perikatan Nasional (PN) dan rakannya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan itu ketika berucap di Pejabat Bersatu Tuaran untuk memberi semangat kepada Hajiji sebelum mengemukakan pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sulaman di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.

"Kerja untuk bantu calon kita ini manalah tahu kalau rakan-rakan kita dalam PN, Barisan Nasional (BN) dan yang lain pun bersetuju. Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata, atas sebab itu Hajiji perlu diberikan sokongan untuk memenangi kerusi Dun Sulaman.

"Kita semua berdoa dengan izin Allah, Hajiji nanti selesai pilihan raya ini akan terpilih menjadi wakil rakyat di sini," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Muhyiddin mengumumkan kerjasama PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah apabila memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan beliau dilantik Ketua Menteri jika PN, BN dan PBS menang, Hajiji berkata, isu itu akan dibincangkan apabila tiba masanya.

"Saya tidak dimaklumkan secara khusus mengenai perkara ini, tapi apapun kita dengan parti rakan BN dan PBS akan selesaikan isu ini bila tiba masanya," katanya.

Katanya, apa yang lebih penting ketika ini adalah untuk memenangi pilihan raya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 1:50pm
d