mutakhir

Bekas anggota polis sudah 12 hari hilang

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Seorang bekas anggota polis dilaporkan hilang sejak 12 hari lalu selepas dikatakan menemui rakannya di Taman Kahang Baru di sini, 31 Ogos lalu.

Su Kim Chang, 57, dikatakan keluar rumah di pekan Kahang kira-kira jam 8 malam untuk bertemu rakannya itu namun dia tidak pulang.

Anaknya, Jacky Su Kai Lun, 33, berkata selepas gagal menghubungi telefon bimbit ayahnya, dia dan beberapa ahli keluarga cuba mencari di sekitar Pekan Kahang termasuk di rumah rakannya namun tidak berjaya.

"Kali terakhir ayah saya keluar dengan memakai baju T berkolar warna coklat berbelang kelabu dan menunggang motosikal Suzuki berwarna biru dengan nombor pendaftaran JKJ 5720.

"Bimbang dengan keselamatan ayah, satu laporan polis dilakukan di Balai Polis Kahang kira-kira jam 9 pagi pada 1 September lalu," katanya ketika ditemui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R Vidyananthan di kediamannya di pekan Kahang hari ini.

Menurut Jacky, kehilangan ayahnya menyebabkan ibunya, Tan King Hui, 58, kini sugul memikirkan keselamatan suaminya itu.

"Saya berharap orang ramai yang mengetahui di mana ayah berada supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 3:16pm
d