mutakhir

Guna lorong tikus larikan balak dan kayu bergergaji

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesan terdapat lebih 20 laluan atau lorong tikus yang digunakan untuk memindahkan balak dan kayu bergergaji keluar dari kawasan hutan simpan.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, menggunakan lorong tikus kaedah biasa digunakan sindiket yang aktif pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Katanya, hutan simpan yang luas mempunyai beberapa lorong tikus dan kebiasaan laluan terbabit hampir dengan jalan utama selain terletak dengan kawasan sempadan negeri.

"Boleh dikatakan semua hutan simpan mempunyai lorong tikus, sebagai contoh Hutan Simpan Chini mempunyai sekurang-kurangnya lima lorong tikus yang digunakan untuk masuk dan keluar. Setiap sindiket mahir menggunakan jalan terbabit.

"Anggota penguatkuasa Zon Timur dan Barat JPNP sudah lama mengesan semua lorong tikus, tersilap langkah pihak yang cuba memindahkan balak dan kayu bergergaji termasuk hasil hutan lain dipintas terlebih dahalu sebelum mereka berada di jalan utama.

"Kegiatan melombong emas secara haram yang banyak terdapat di Hutan Simpan Ibam, Rompin dan beberapa hutan simpan di Raub dan Lipis juga turut menggunakan lorong tikus untuk masuk dan keluar," katanya, dihubungi di sini, hari ini.

Nor Azirim berkata, dia sudah mengarahkan pegawai dan anggota Unit Penguatkuasa Zon Timur dan Barat supaya mengesan semua lorong tikus disemua daerah bagi memudahkan lagi usaha menjejaki sindiket yang cuba memindahkan balak dan kayu bergergaji serta hasil hutan lain.

"Apabila menerima maklumat operasi sekatan akan dilakukan dipintu keluar lorong tikus, kaedah berkenaan sudah digunakan sebelum ini dan ia amat berkesan apabila berjaya menahan beberapa menceroboh hutan simpan.

"Kita juga sentiasa mengharapkan kerjasama daripada masyarakat setempat untuk memberi maklumat kegiatan memindahkan hasil hutan yang merugikan kepada kerajaan negeri," katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 4:33pm
d