mutakhir

Pengundi tidak perlu bimbang

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Kinabalu: Pengundi tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, sekiranya semua pihak mematuhi SOP, proses mengundi ketika negara masih dilanda wabak Covid-19 akan berjalan lancar dan terkawal.

Katanya, walaupun ada zon merah di Tawau dan Lahad Datu, namun SOP kesihatan dengan kerjasama KKM akan dilaksanakan.

"Pengundi tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi dan kami berharap pematuhan tinggi dilaksanakan.

"Dalam PRN kali ini juga, kami mensasarkan peratusan keluar mengundi meningkat kepada 75 peratus berbanding 69 peratus sebelum ini," katanya dalam sidang media di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata, khemah khas dengan bantuan petugas KKM akan disediakan sekiranya pengundi yang menunjukkan suhu badan melebihi daripada yang ditetapkan dan bergejala.

Menteri Kesihatan hari ini dilaporkan berkata, KKM akan meneliti keperluan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas urusan PRN Sabah.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Lahad Datu dan Tawau kini berada dalam zon merah kerana Kluster Benteng selepas berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan tahanan lokap dan penjara membabitkan warga asing.

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 6:30pm
d