mutakhir

Speaker tolak cadangan calon Ahli Dewan Negara pembangkang

Oleh Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Cadangan pembangkang mencalonkan bekas Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz sebagai Ahli Dewan Negara ditolak Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor.

Speaker Dun Johor, Suhaizan Kaiat berkata, beliau mengambil tindakan berkenaan kerana pembangkang tidak mengikut peraturan dewan dengan menghantar cadangan nama Dr Selahuddeen sebagai calon Ahli Dewan Negara sebelum ini.

"Cadangan perlulah dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh dewan bersidang, namun pembangkang tidak menghantar nama yang dicalonkan mereka menyebabkan saya selaku Speaker terpaksa menolak cadangan ini, " katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan bangun bagi mencadangkan nama Dr Selahuddeen selepas Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mencadangkan Ketua Bahagian Umno Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan, 52, sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili Johor.

Aminolhuda (Amanah-Parit Yaani) sebelum itu mempersoalkan pencalonan Jefridin tidak dimaklumkan terlebih dulu sebagai mana kebiasaan.

Mohd Khuzzan Abu Bakar (PKR-Semerah) yang turut bangun untuk mencalonkan Dr Selahuddeen namun diminta duduk oleh Speaker.

Suhaizan kemudian mengumumkan Jefridin sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili Johor, selepas tiada ahli dewan lain yang mahu membahaskan pencalonan berkenaan.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 2:56pm
d