mutakhir

Lagi Pati ditahan di laluan tikus

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Cubaan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia bersembunyi di dalam semak di pantai Padang Mulud, Bandar Penawar, Johor bagi mengelak ditahan gagal apabila disedari pihak berkuasa, hari ini.

Dalam serbuan Op Benteng, Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) dari Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) menahan 10 Pati warga Indonesia yang cuba pulang ke Indonesia dan 15 Pati baru tiba serta ingin masuk ke negara ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata, anggota Pos Pemerhati membuat serbuan selepas melihat sebuah bot kecil sedang merapati pesisir pantai pada jarak 400 meter dari pantai Padang Mulud, Bandar Penawar pada 1 pagi.

Menurutnya, mereka menahan sembilan Pati yang bersembunyi di dalam semak dipercayai sedang menunggu untuk menaiki bot pulang ke Indonesia, namun bot itu terus beredar dari lokasi selepas diserbu.

"Pada 2.30 pagi (tadi), anggota Quick Reaction Force (QRF) yang turut digerakkan menjejaki saki baki Pati menahan seorang lagi Pati yang melarikan diri dan bersembunyi di hutan pada jarak satu kilometer dari lokasi serbuan.

"Anggota yang mengesan lokasi persembunyian lain di kawasan hutan pada jarak 300 meter dari Pos Pemerhati melakukan serbuan, dan menahan empat Pati warga Indonesia yang baru masuk ke Malaysia.

"Mereka turut berjaya menahan 11 lagi Pati yang bersembunyi di kawasan hutan pada jarak 800 meter dari lokasi serbuan pada 10 pagi," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan pihaknya menahan 25 Pati terdiri 13 lelaki dan 12 wanita berusia 21 hingga 57 tahun.

Katanya, turut dirampas wang tunai RM8,600, matawang Rupiah Indonesia 19.48 juta (RM5,459.40) serta 30 buah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan RM28,489.40.

"Kesemua Pati terbabit dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk dibuat pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 4:53pm
d