mutakhir

Johor cadang pembelian hartanah sewa beli

Oleh Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Kerajaan Johor sedang memuktamadkan cadangan urus niaga pembelian hartanah menerusi skim sewa beli bagi unit berharga antara RM300,000 hingga RM1.25 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil berkata, ketika ini, kerajaan negeri sedang menjalankan perbincangan bersama beberapa institusi kewangan tempatan bagi melaksanakan skim berkenaan.

Beliau berkata, skim sewa beli terbabit akan memudahkan proses pembelian hartanah kediaman terutama bagi pembeli Bumiputera yang sebelum ini sukar mendapatkan pembiayaan perumahan.

"Skim ini akan menyaksikan jika seseorang itu mahu beli rumah RM300,000, pembeli atau penyewa hanya perlu mengeluarkan wang RM3,000 sebagai pendahuluan.

"Ia berbeza dengan skim konvensional sekurang-kurangnya bayaran pendahulan RM30,000 diperlukan, ini akan membantu pembeli itu bersedia daripada segi pembiayaan dan tidak perlu menanggung komitmen pendahuluan besar.

"Kerajaan Johor mahu mudahkan pembeli terutama Bumiputera memiliki rumah dan buat masa ini proses memuktamadkan dengan pihak berkaitan termasuk Pejabat Tanah dan Galian sedang dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Tee Boon Tsong (PH-Senai).

Boon Tsong turut bertanyakan jumlah unit rumah Bumiputera yang belum dilepaskan pegangan walaupun sudah mematuhi syarat kelayakan.

Ayub berkata, tahun lalu, jumlah permohonan pelepasan lot Bumiputera kepada lot bukan Bumiputera adalah sebanyak 275 permohonan.

Katanya, daripada jumlah itu 268 permohonan sudah dibentangkan ke Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan (JMMK) bagi seluruh negeri.

"Manakala jumlah unit yang diluluskan dan dijelaskan bayaran caj gantian 7.5 peratus tahun lalu adalah sebanyak 1,799 unit yang berjumlah RM115,288,128.33.

"Jumlah permohonan pelepasan lot Bumiputera kepada lot bukan Bumiputera sehingga Ogos tahun ini pula adalah sebanyak 234 permohonan dengan sejumlah 102 permohonan sudah dibentangkan ke Mesyuarat JMMK," katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 5:16pm
d