mutakhir

Warga asing pandu kenderaan bawa barang disaman [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Sejumlah 242 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor terhadap pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang lima hari Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) sejak Isnin lalu.

Timbalan Pengarah JPJ Johor Azmil Zainal Adnan berkata, seramai 71 warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun diperiksa dan diambil tindakan.

Menurutnya, ia membabitkan 37 warga Myanmar diikuti 25 (Pakistan), lima (Bangladesh) dan tiga warga India.

Katanya, hasil risikan selama sebulan mendapati modus operandi pemandu warga asing adalah memandu kenderaan tanpa lesen sah termasuk menunggang motosikal yang sudah diubahsuai menjadi motosikal beroda tiga bertujuan mengutip atau membawa barangan lusuh di sekitar daerah ini.

"Terdapat juga mereka yang membawa kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) seperti van dan lori bagi perniagaan seperti menghantar pesanan barangan.

"Hasil operasi itu juga sebanyak 60 kenderaan disita dan dibawa ke pejabat JPJ untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya sidang media di Bilik Mesyuarat Tanjung Puteri JPJ Johor hari ini.

Menurutnya, JPJ memandang serius perkara itu dalam usaha mengelakkan berlakunya kemalangan meragut nyawa malah menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, pihaknya menekankan bahawa pemandu warga asing di negari itu tidak dibenarkan memandu kenderaan perkhidmatan barangan dan akan mengambil tindakan tegas termasuk kepada pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing menggunakannya mengikut peruntukan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, katanya, sejumlah 406 notis saman dikeluarkan menerusi Ops PeWA sejak Januari hingga Ogos lalu membabitkan 210 pemandu warga asing dan 917 kenderaan diperiksa.

"Sebanyak 446 kesalahan dikesan merangkumi 214 tiada lesen memandu, 19 tiada lesen vokasional, 84 cukai jalan tamat tempoh, 85 tiada perlindungan insurans dan 44 lain-lain kesalahan," katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 5:21pm
d