mutakhir

PRN Sabah: Pulau Gaya tidak akan dianaktirikan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Kinabalu: Masalah air bersih dan penempatan lebih selesa menjadi agenda utama yang akan dibawa kepada penduduk Pulau Gaya.

Calon Barisan Nasional (BN) Tanjung Aru, Mohd Reduan Aklee berkata, dia enggan dilema itu terus membelenggu lebih 3,000 penduduk sejak sekian lama.

Menurutnya, sebagai anak tempatan, sudah pasti kemudahan infrastruktur menjadi fokus dan memastikan penduduk menerima perhatian sama adil dengan rakyat di tanah besar.

"Sebelum ini, kerusi Tanjung Aru tidak diwakili anak tempatan jadi saya sebagai anak tempatan mahu sesuatu yang baru dalam landskap penduduk di kawasan ini.

"Ketiadaan bekalan air bersih menyebabkan penduduk perlu membeli air yang dibekalkan syarikat swasta setiap hari untuk memasak, mandi dan kegunaan harian lain," katanya ketika ditemui selepas berkempen di Kampung Gaya di Pulau Gaya dekat sini, hari ini.

Mohd Reduan Aklee berkata, selaku calon anak muda, perhatian kepada golongan pelapis khususnya pendidikan tidak akan dipandang sepi.

Beliau berkata, generasi muda di pulau ini perlu mendapat pendidikan sebaik mungkin agar dapat membela nasib diri dan keluarga.

Katanya, usah timbul sentimen anak tiri daripada kerajaan negeri kepada penduduk pulau ini kerana mereka juga menyumbang kepada sosio-ekonomi setempat.

"Banyak potensi boleh dibangunkan di Pulau Gaya khususnya sektor pelancongan dan perikanan kerana berdekatan Kota Kinabalu," katanya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Aru menyaksikan pertembungan lapan penjuru antara BN, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan masing-masing dua calon bebas.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 5:27pm
d