mutakhir

Kes baharu Kluster Benteng LD, Tawar, Sungai masih ada

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Penularan wabak Covid-19 bagi tiga kluster membabitkan Kluster Benteng LD, Kluster Tawar dan Kluster Sungai terus bertambah sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi Kluster Benteng LD, seramai 4,666 individu sudah disaring dengan 22 kes baharu dikesan positif Covid-19.

Menurutnya, di Tawau, 3,408 individu disaring dengan 315 daripadanya positif Covid-19 termasuk 22 kes baharu.

Katanya, seramai 803 individu didapati negatif, manakala 2,290 individu lagi masih menunggu keputusan.

"Di Lahad Datu, 1,258 individu disaring dengan 88 positif Covid-19, 440 negatif dan tujuh individu masih menunggu keputusan.

"Pecahan saringan (di Tawau) membabitkan 913 banduan dengan 383 positif Covid-19. Seramai 623 kakitangan disaring dengan dua daripadanya positif Covid-19," katanya pada kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, selain itu, 1,214 kontak rapat membabitkan ahli keluarga kakitangan dan banduan turut disaring dengan tiga individu positif Covid-19.

"Seramai 332 pegawai polis dan 744 anggota agensi kerajaan lain turut disaring, namun tiada yang positif Covid-19.

"Selain itu, 15 individu positif Covid-19 hasil saringan terhadap 840 kontak sosial.

"Daripada 403 kes positif Covid-19, 176 dalam kalangan warganegara, manakala 227 bukan warganegara," katanya.

Menurutnya, Kluster Tawar sehingga jam 12 tengah hari hari ini, seramai 18,233 individu disaring dengan 13 kes baharu dikesan positif Covid-19 termasuk enam petugas kesihatan swasta.

Katanya, seramai 13,891 individu disaring dengan 56 kes positif Covid-19 termasuk lima kes baharu, hari ini bagi Kluster Sungai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 6:09pm
    d